Harakahdaily Dec 08, 2013
KEMAMAN: Seorang warga emas nekad untuk berlindung di dalam van milik suaminya di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok dekat sini.
Munah Eng Abdullah, 64, sanggup menjadikan van tersebut sebagai tempatnya berteduh dan bermalam memandangkan beliau tidak boleh terlalu lama duduk atau tidur di atas simen.
Beliau yang mengalami masalah sakit tulang belakang sejak 10 tahun lalu berkata ini adalah tahun kedua beliau tidur di dalam van ketika rumahnya di tenggelami banjir.
"Mak cik juga sering sakit di bahagian sendi, jadi apabila terlalu lama berada di atas simen, kaki akan mula berasa kejang sebab itu kami memilih untuk tinggal di dalam van," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan itu.
Menurutnya mereka membuat keputusan untuk berpindah lebih awal ke pusat itu kerana mahu mencari tempat yang sesuai untuk meletak kenderaan mereka.
Hari ini sudah enam malam beliau dan suaminya berkampung di sekolah terbabit.
Munah berkata suaminya mula mengemas barangan mereka sebaik menyedari air semakin naik.
Beliau berkata pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh pelbagai pihak telah meringankan beban mereka memandangkan tidak mempunyai bekalan yang mencukupi.
"Mak cik bersyukur bantuan air bersih mula dihantar kepada kami termasuk peralatan lain seperti tikar, selimut dan sebagainya," katanya.
Seorang lagi mangsa, Wan Nordin Wan Hassan, 40, berkata bantuan boleh dikatakan agak lewat tiba ke pusat penempatan itu kerana paras air terlalu tinggi selain masalah komunikasi yang dihadapi.
"Saya faham jalan terputus menyebabkan bantuan agak sukar dibawa sebelum pihak penyelamat lain tiba dengan kelengkapan yang lebih baik," katanya. - Bernama
Posting Komentar