Pemuda Gerakan Protes Isu Kalimah Allah


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang seolah-olah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menetapkan majalah mingguan terbitan gereja, The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian dalam penerbitan edisi Bahasa Melayu.

Ia apabila Keng Liang dalam satu reaksi segeranya mendakwa, kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil kira fakta penganut Kristian di Sabah, Sarawak telah lama menggunakan kalimah Allah sebelum membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah suci itu digunakan dalam seksyen Bahasa Melayu majalah tersebut sebelum ini.

“Pada hakikatnya penganut Kristian di Timur Malaysia telah lama menggunakan perkataan `Allah’ sejak sekian lama. Sebarang keputusan kerajaan berhubung isu ini sepatutnya mengambil kira fakta tersebut. Sekiranya isu ini berterusan tanpa penyelesaian secara baik boleh menyebabkan pergeseran antara penganut Kristian dan Islam di negara ini,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Keng Liang seterusnya mendakwa isu tersebut sepatutnya tidak timbul sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil kira pandangan kesemua 13 parti komponen untuk mendapatkan penyelesaian secara baik terlebih dahulu sebelum membuat rayuan.

Justeru, katanya, Pemuda Gerakan Kedah menggesa Majlis Tertinggi BN mendapatkan semula pandangan daripada parti komponen terbabit terutama di Sabah dan Sarawak berhubung isu tersebut.

Dakwanya, kerajaan perlu berbuat demikian bagi mendapatkan gambaran berhubung pandangan setiap komuniti di negara ini berhubung isu tersebut sebelum ia dijadikan sebagai polisi negara.

“Kami turut mendesak Majlis Tertinggi BN mengadakan satu mesyuarat secepat mungkin untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah suci itu digunakan dalam seksyen Bahasa Melayu majalah mingguan terbitan gereja, The Herald.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam agar The Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian.

Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali berpendapat, kalimah suci itu jika dibenarkan penggunaanya akan mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat

Posting Komentar