Ekoran kontroversi terbaru yang melibatkan bekas artis di bawah pengurusan syarikatnya, David Teo menyatakan keputusannya untuk menggam Aeril Zafril daripada berlakon mana-mana filem atau drama terbitan Metrowealth Movies Production (MIG).
Namun, berlainan pula buat Wawa Zainal apabila David menyatakan dia masih lagi memberikan ruang dan peluang buat aktres comel itu kembali berlakon menerusi syarikat produksinya.
Menerusi Bipop, David berkata, “Wawa masih muda dan saya faham, wanita dalam usia sepertinya pasti ada melakukan kesilapan. Buat masa ini, saya hanya ingin mendengar penjelasannya berhubung perkara terbabit dan jika dia ingin kembali ke dunia lakonan, saya tetap menerimanya dengan hati terbuka.
“Namun, buat Aeril, saya sudah serik dengan sikapnya yang pernah menipu, kononnya pergi belajar agama, tetapi dia pergi berlakon dengan produksi luar. Saya tidak lagi percaya dengannya dan tidak berminat langsung mengambilnya berlakon dengan produksi saya,” katanya.
Semalam, Bipop membuat pendedahan eksklusif mengatakan Aeril dan Wawa sudah bernikah bulan Februari tahun ini dan kemudiannya dikurniakan anak lelaki pada 24 Ogos lalu.
Wawa dikatakan selamat bersalin di Roopi Centre, Kuala Lumpur.
Bayi seberat 3.12 kilogram itu direkodkan dilahirkan pada jam 9.25 pagi.
Kedua-dua pelakon tersebut sebelum ini menafikan mereka bercinta namun menerusi sumber terdekat mengatakan Aeril dan Wawa sudah tiga tahun menyulam cinta sejak berlakon bersama dalam drama bersiri Klik.
Oleh: AUDREY LEE
Posting Komentar