Kaki Ustaz Azizan perlu dibuang elak jangkitan berlarutan

May 09, 2013
 
KUALA LUMPUR, 9 Mei — Kaki bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak perlu dibuang bagi mengelakkan jangkitan merebak ke seluruh badan, dipetik laporan akhbar The Star.
Setiausaha akhbar Azizan, Mohd Helmi Khalid dipetik The Star mengesahkan perkara itu, dan pemimpin itu dijadualkan akan dibedah petang Khamis di Hospital Besar Pulau Pinang.

"Bahagian yang akan dipotong adalah dari paras lutut ke bawah. Pembedahan dijadualkan sekarang (jam 4.45 petang)," katanya semalam.
Azizan (gambar), 69, dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang kira-kira jam 4 petang, pada Selasa selepas menerima rawatan di hospital swasta selepas jangkitan di kakinya merebak.

Azizan sebelum ini dilaporkan telah dimasukkan ke hospital akibat penyakit kencing manis dan bukannya serangan jantung.

Beliau turut dilaporkan koma pada 5.30 petang Rabu, namun sedar semula kira-kira jam 9 pagi, pada Khamis.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang datang melawat Azizan sekitar jam 3 petang hari ini turut menggesa orang ramai supaya mendoakan kesihatan Azizan.

"Saya menggesa agar orang ramai mendoakan agar Azizan segera sembuh," katanya.
Dalam Pilihan Raya 2013, Azizan berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua calon bebas Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim.
Azizan memperolehi 13,294 undi dan Mohd Fazillah, yang juga sepupunya memperolehi 10,520 undi.

Kedah juga turut kembali ke tangan BN sekaligus menewaskan PAS Kedah yang telah mentadbir negeri berkenaan selepas Pilihan Raya 2008.

Posting Komentar