Enam Ahli Parlimen UK Kunjung SPR


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menerima kunjungan delegasi enam anggota Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) dari United Kingdom di ibu pejabatnya di Kompleks C, di sini.

Lawatan yang diketuai Ian Liddell-Grainger (Parti Konservatif) dan disertai John Denham (Parti Buruh), Baron Dholakia (Parti Liberal Demokrat), Viscount Hanworth (Parti Buruh), Yasmin Qureshi (Parti Buruh) dan Pete Wishart (Parti Kebangsaan Scotland) (SNP) adalah untuk memahami sistem pilihan raya dan fungsi SPR di negara ini.

Ahli SPR, Datuk Dr P. Manogran memberi taklimat kepada anggota delegasi. Hadir sama ialah seorang lagi ahli SPR, Datuk Christopher Wan Soo Kee.

Bercakap kepada pemberita di sini, Manogran berkata, selain berminat untuk memahami sistem pilihan raya, wakil rakyat UK itu juga berminat untuk memahami sistem parlimen, termasuk pembentukan Parlimen baharu, perhubungan antara Dewan Rakyat dengan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka juga ingin memahami secara mendalam ‘dual justice system’ iaitu perjalanan Mahkamah Syariah dan Mahamah Sivil di negara ini.

“Mereka juga mahu mengetahui peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara,” katanya.

Delegasi tersebut dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan mereka di negara ini dan kemudian meneruskan lawatan ke Singapura dan Brunei. – BERNAMA

Posting Komentar