Doktor Berpangkat Kolonel Dituduh Rasuah RM700 000


KUALA LUMPUR – Seorang doktor berpangkat Kolonel yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) Wangsa Maju di sini dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini kerana melakukan dua kesalahan rasuah sebanyak RM700,000.

Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan media memberitahu, lelaki berusia 50 tahun tersebut yang juga ketua sebuah makmal di HATTM didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada pemilik sebuah syarikat swasta.

“Suapan ini sebagai upah bagi mencadangkan nama sebuah syarikat swasta menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi hospital berkenaan. Tertuduh ditahan SPRM pada 4 September lalu,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 apabila secara rasuah meminta RM700,000 daripada seorang individu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan telefon bimbitnya.

Wang rasuah itu sebagai upah kerana mencadangkan beberapa syarikat untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM dan tertuduh didakwa membuat jenayah itu pada pada 29 Ogos 2013 , kira-kira pukul 11.58 pagi.

Kata kenyataan itu, pertuduhan kedua pula dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 membabitkan kesalahan bersetuju menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat sebagai upah kerana mencadangkan beberapa syarikat untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM.

“Tertuduh didakwa berbuat demikian pada 3 September 2013, kira-kira 5.15 petang bertempat di hadapan Empire Gallery Subang Jaya, Selangor. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Sabtu menawarkan wang jaminan RM500,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan dokumen perjalanan tertuduh diserah kepada mahkamah,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu, peguam bela memohon supaya jumlah jaminan munasabah dikenakan memandangkan tertuduh merupakan seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 23 tahun serta masih berkhidmat sebagai ketua sebuah makmal di hospital berkenaan HATTM.

Kata kenyataan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah (3), Slamat Yahya menetapkan wang jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 8 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula.

“Sekiranya sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan,” kata kenyataan itu lagi.

Posting Komentar